Tuesday 26 July 2016

IRON LADY MALAYSIA- APA PESANAN UNTUK USAHAWAN?

Betullah kata pepatah, ‘tangan yang menghayun buaian itu mampu menggoncang dunia’,  hari demi hari ada sahaja kejayaan besar diraih oleh wanita yang mendapat jolokan sebagai Iron Lady Malaysia ini.

“Saya asalnya orang kampung, orang susah,  apa yang saya ada hari ini adalah berkat kekuatan diri, usaha gigih dan rezeki daripada ALLAH S.W.T," katanya memulakan bicara.

Datuk Dr Maznah Hamid, nama yang tidak asing lagi dalam dunia perniagaan, seperti yang semua tahu beliau merupakan wanita pertama di Malaysia yang mengetuai sebuah syarikat kawalan keselamatan yang dikenali Securiforce.

Pada awalnya wanita cekal 57 tahun ini nampak sukar didekati dek kerana tugasnya yang digeruni oleh kaum lelaki, namun sangkaan itu meleset setelah sejam berbual dengannya, ternyata beliau seorang yang merendah diri.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce Sdn Bhd ini kini boleh berbangga kerana syarikatnya itu telah mempunyai 68 cawangan dan berjaya menyaingi 500 buah syarikat keselamatan lain di dunia.

Katanya, kalau seseorang itu ingin berjaya, bukan dengan bermodal besar tetapi yang paling utama adalah keberanian dan keyakinan diri, jika tidak impian hanya tinggal impian.

“Pada awal pembabitan saya dalam dunia perniagaan keselamatan ini, saya hanya bermodalkan RM5,000 dan lima orang pengawal. Itu adalah duit simpanan saya ketika menjadi guru bahasa dan penterjemah kepada duta asing ,” katanya.

Securiforce kini bukan hanya sebuah syarikat keselamatan biasa tetapi, syarikat itu telah berkembang seiring teknologi semasa dengan melebarkan sayapnya ke peringkat antarabangsa berkonsepkan, ‘Total Security Solution’.

Securiforce Logistik merupakan ejen penghantaran darat, laut dan udara yang mana memiliki cawangan di Singapura, Bangkok, China, Korea, Turki dan Jerman.

Apa yang menariknya mengenai cerita kejayaan Maznah adalah kesemua anak syarikat yang ditubuhkan dan berkembang maju tanpa bantuan kewangan daripada mana-mana bank.

“Kita mesti sanggup bekerja lebih daripada gaji yang dibayar, maka akhirnya kita akan mendapat lebih dari apa yang kita kerjakan,” katanya.

Prinsip itu yang telah membawa kejayaan besar dalam bidang kerja dan perniagaannya, membolehkan beliau berada di tahap sekarang.

Mengimbau kenangan 30 tahun lalu, beliau memberitahu pada awal penghijrahannya di Kuala Lumpur beliau melalui pelbagai keperitan hidup sehinggakan pernah mendiami rumah setinggan yang tiada bekalan air dan elektrik.

Ceburi bidang hartanah

Tidak mudah berpuas hati dengan apa yang beliau ada, Maznah menceburi bidang hartanah melalui syarikat Danau Lumayan Sdn Bhd.

Bermula tahun 1997 Danau Lumayan menerokai kawasan sekitar Bandar Tun Razak dengan membina 3,000 unit kediaman kondominium dan lot kedai.

Katanya, anak muridnya antara pendorong utama untuk beliau menceburi bidang hartanah, selama lima tahun beliau belajar mengenai perusahaan hartanah.

“Pembangunan di kawasan ini mengekalkan keindahan alam semula jadi di kawasan Taman Tasik Permaisuri. Penduduk kawasan ini masih dapat menikmati kehidupan moden di kawasan yang masih hijau dan berhampiran pusat bandar, Kuala Lumpur,” katanya.

Menurut beliau, modal utama dalam mana-mana perniagaan sebenar adalah diri sendiri, dan sedikit ‘nasib baik’.

“Kita boleh menjual apa sahaja kepada sesiapa sahaja, walau dengan berapa harga sekalipun, sekiranya kita boleh ‘menjual diri kita’. Diri kita mestilah terjual sebelum produk atau servis,” katanya.

Doa termakbul

Asalnya beliau hanya gadis biasa kelahiran Ayer Hitam, Jerlun, Kedah, dan dibesarkan oleh datuk dan nenek yang terlalu konservatif dan kuat agama.“Pesan nenek, kalu tidak lulus periksa (ketika itu LCE) , kahwin, kalau lulus MCE atau universiti, jadi pensyarah agama.“Hasil didikan agama yang dibekalkan datuk dan nenek saya itu juga membuatkan saya ingat siapa diri saya walau di mana saya berada,” katanya. Menurut Maznah, beliau tidak begitu meyakini kelulusan tertinggi yang diperoleh di universiti boleh dijadikan modal utama atau jaminan untuk menjadi insan yang berjaya, kaya dan bahagia. “Saya sering berangan dan berdoa ingin jadi orang senang kerana dahulu saya hidup susah. Ketika duduk di setinggan, saya sering mengimpikan rumah-rumah besar di lereng bukit berhadapan kediaman saya. “Alhamdulillah Tuhan makbulkan doa saya dengan meletakkan saya di kalangan mereka. Benarlah kata orang, kalau nak jadi alim berkawanlah dengan orang alim, kalau nak berjaya maka sentiasalah bersama orang berjaya. Bila berada dalam golongan tersebut kita mendapat motivasi, aura untuk menjadi seperti mereka,” katanya.


Guru keusahawanan

Walaupun sudah berada di puncak, Maznah tidak pernah lupa akan asal-usulnya, apatah lagi lokek dengan ilmu serta pengalaman yang beliau ada. Oleh kerana itu, beliau menubuhkan Maznah Motivational Centre bagi membantu para usahawan baru serta mereka yang pernah gagal dalam kehidupan mendapat motivasi diri.“Saya ingin memberi inspirasi kepada semua, tidak kira kita anak petani, nelayan, penoreh getah atau anak felda. Apa yang penting akhirnya apa yang boleh kita jadikan diri kita.

“Apa yang saya ada hari ini, saya perlu kongsi kepada masyarakat di luar. Saya gembira untuk membantu mereka yang bercita-cita mengubah nasib. Ini juga tanggungjawab saya kepada masyarakat khususnya kepada anak bangsa saya sendiri bagi memberi peluang masa depan yang lebih cerah,” katanya.Selain itu, dengan berbekalkan pengalaman 30 tahun dalam bidang perniagaan, Maznah telah membuka Klinik Keusahawanan di seluruh negara bagi membantu mereka yang mahu berkecimpung dalam bidang perniagaan.
Pemilik Ijazah Kedoktoran Pentadbiran Perniagaan dalam bidang Keusahawanan, Motivasi dan Modal Pembangunan Insan dari Central State Univerity of New York ini telah menerbitkan beberapa buah buku motivasi.Antara buku dapat sambutan hangat bertajuk Motivasi Memburu Kejayaan dan buku mini siri Rahsia 3K- Kejayaan, Kebahagiaan dan Kekayaan.Wanita gigih ini pernah menjadi duta oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD), mempromosikan ‘Keusahawanan Suatu Kerjaya Pilihan’, di mana beliau bertindak memberi motivasi keusahawanan, peluang dan cabaran melalui seminar kepada semua graduan.

Beliau juga memberi gambaran sebenarnya dunia keusahawanan dan juga latihan amali sebelum memulakan sesuatu perniagaan. Semangat keusahawanan harus ditanam dalam diri semua insan yang ingin hidup ‘senang’.
Berkongsi ilmu di Facebook

Walaupun berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang perniagaan dan kini menjadi pakar motivasi, Maznah tetap memilih buku sebagai teman senggang.Ilmu yang diperoleh dikongsi dalam seminar yang dihadiri. Beliau juga memilih laman sosial Facebook sebagai medan berkongsi ilmu.“Bagi saya kandungan kata-kata semangat dan kisah kejayaan yang saya paparkan dalam Facebook umpama multivitamin setiap hari untuk minda dan jiwa. Saya akan menjawab apa saja masalah berkaitan perniagaan atau kehidupan.

“Untuk mencapai kejayaan yang luar biasa, kita perlu sanggup berfikir, bertindak, bekerja dan bersusah-payah secara luar biasa juga, bukan sebagai insan biasa,” katanya. Ibu kepada lima anak ini beritahu, bahawa setiap wanita perlu berfikiran luas dan terbuka, banyak membaca dan belajar apa jua walaupun hanya sebagai suri rumah tangga, kerana mereka juga pemimpin dalam rumah tangga. Menurut beliau, bukan senang untuk menjadi seorang wanita dalam dunia yang serba moden.“Jika kita mahu dihormati dan disenangi, wanita perlu bijak letak diri mereka di kedudukan betul,” katanya. Walaupun sibuk dalam pelbagai bidang, Maznah yang juga Exco Wanita Umno dan Ketua Wanita Umno Kedah tidak pernah lupa mereka yang kurang bernasib baik dan memerlukan bimbingan. Beliau juga aktif dalam program kemasyarakatan bagi membantu meringankan beban mereka yang memerlukan.

“Sebagai seorang usahawan yang telah berkecimpung di bidang ekonomi dan keusahawanan lebih dari 30 tahun. Sudah pasti saya berhasrat untuk berkongsi pengalaman dan ilmu pengetahuan dalam bidang ini dengan seluruh masyarakat dengan lebih berkesan agar bangsa kita tidak miskin dan dijajah di bumi sendiri," katanya ketika ditanya mengenai visi dan misi sebagai menutup perbualan santai kami.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.